PROGRAM BICARA BUDAYAWAN PAHANG " SISO KOPRATASA : DARI BALOK KE PENTAS SENI"

PROGRAM BICARA BUDAYAWAN PAHANG " SISO KOPRATASA : DARI BALOK KE PENTAS SENI"

Program Bicara Budayawan Pahang "Siso Kopratasa: Dari Balok ke Pentas Seni"
 
16 Mac 2023, Pekan, Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) dengan kerjasama Pusat Sukan & Kebudayaan (PSK) UMP dan PUSAT KEBUDAYAAN USIM telah berjaya menganjurkan satu program bertajuk Bicara Budayawan Pahang "Siso Kopratasa: Dari Balok ke Pentas Seni". Program ini menampilkan Tuan Syed Indra Syed Omar atau lebih dikenali sebagai Siso Kopratasa sebagai panel utama dan Saudara Khairul Imran bin Ruslan, pelajar UMP sebagai moderator.
 
Program ini dianjurkan adalah sebagai satu platfom perkongsian pengalaman dan perjalanan hidup Siso sebagai anak seni bermula dari Balok, Kuantan sehingga dikenali ramai. Beliau menubuhkan kumpulan Kopratasa bersama dua orang ahli lain pada tahun 1985. Sepanjang kerjaya sebagai anak seni, beliau mempunyai pengalaman selama 36 tahun sebagai penulis lirik, 30 tahun penulis skrip, 25 tahun sebagai penata vokal dan 20 tahun sebagai ahli panel persembahan dan pengarah lakon. Sehingga kini Siso telah menghasilkan kira-kira 300 lebih lirik lagu yang menggunakan nama beliau sendiri. Ini tidak termasuk lirik yang didaftarkan menggunakan nama orang lain.
 
“Pahang mempunyai pelbagai warisan seni dan tarian seperti Zapin Pekan, Zapin Raub dan Tarian Labi-labi. Namun ia semua sukar untuk dipertontonkan dan diwarisi ke generasi baru kerana kita sendiri tidak menjaganya” ujar beliau. Tambah beliau, program-program penghargaan kepada semua penggiat seni yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini perlu diperbanyakan agar mereka rasa dihormati dan memberikan semangat untuk terus berjuang dalam dunia tersebut.
 
Siso turut sudi menyampaikan dua buah lagu kopratasa yang terkenal iaitu Permata Untuk Isteri dan Masihkah Kau Ingat yang turut disertai oleh Sani Sudin, salah seorang ahli Kopratasa yang lain. Turut hadir ke program ini ialah Prof. Madya Dr. Hasan Ahmad (Pengarah ITKAS UMP), En. Ismail bin Ahmed (Pengarah Pusat Kebudayaan USIM) dan En. Mohd Aznorizamin bin Ismail (Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP). Selain itu, terdapat juga wakil-wakil daripada agensi luar seperti dari Yayasan Pahang dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang (PSMCP) yang hadir memeriahkan program.
 
Semoga ini merupakan titik permulaan bagi usaha untuk memartabatkan dan menghargai para karyawan dan budayawan terutamanya mereka yang berasal dari Pahang agar boleh dijadikan rujukan untuk generasi muda sekarang.

Print   Email