KURUS PENGENALAN SYAIR

KURUS PENGENALAN SYAIR

13 Mei 2023 | Kuantan | Dewan Banquet, UMP Gambang 

Buat julung kalinya, kelas pengenalan Akademi Syair Melayu Nusantara dan Majlis Perasmian Akademi Syair UMP anjuran Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) dengan kerjasama Pusat Sukan dan Kebudayaan (PSK) dan Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian (SKK) UMP, telah mengadakan kursus Akademi Syair 2023 di UMP dan akan diajar secara bersemuka oleh Roslan Madun, penyanyi Lemak Manis, yang tak asing lagi dalam dunia seni budaya. 

Program dimulai dengan sesi pengenalan syair oleh tenaga pengajar yang cukup berpengalaman iaitu Encik Roslan Madun, Raja Syair Malaysia selaku Felo Perunding Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), UMP. Seramai 30 orang peserta di kalangan pelajar dan staf UMP telah menyertai Akademi Syair ini dan program ini telah dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Hasan Bin Ahmad, Pengarah ITKAS. 

Hasil daripada sesi pembelajaran syair ini, semua pelajar dan staf yang terlibat akan diberikan pendedahan tentang puisi tradisional Melayu termasuk pantun, syair, gurindam, seloka dan nazam serta mereka dapat mempelajari cara-cara yang betul untuk mendendangkan syair Melayu kepada orang ramai. Akademi syair ini juga merupakan salah satu peluang keemasan untuk mereka menguasai cara penulisan syair Melayu. 

Kelas pengenalan Akademi Syair Melayu Nusantara dan Majlis Perasmian Akademi Syair UMP telah berjalan dengan lancar dan harmoni. Semoga usaha dalam melestarikan warisan bahasa dan bangsa Melayu kita melalui cinta terhadap Syair Melayu ini dapat diteruskan dan terus mendapat lebih banyak sambutan pada masa akan datang.

"Datanglah ke sini, carilah kunci inderaloka yang kau dambakan."

 


Print   Email