PROGRAM TAUTAN JATI DIRI STAF DAN PEMIMPIN PELAJAR UMP BERSAMA UGM DAN UNY, INDONESIA

Yogyakarta, Indonesia | 12 Jun 2023 - 15 Jun 2023

Satu delegasi UMP yang terdiri daripada 11 orang staf dan 20 orang pelajar telah menyertai program Tautan Jati Diri Staf Dan Pemimpin Pelajar Universiti Malaysia Pahang Bersama Universitas Gadjah Mada Dan Universitas Negeri Yogyakarta, Indonesia. Delegasi pelajar adalah terdiri daripada pemimpin pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar, Skuad Yayasan UMP, InSmartive, Sekeretariat Kesenian dan Kebudayaan, Ikatan Siswa Anak Darul Ta’zim UMP dan Kelab Pembimbing Rakan Siswa.

Objektif utama program ini adalah untuk menerapkan semangat patriotik dalam diri setiap delegasi melalui beberapa program yang dijalankan di sana. Di samping itu, para delegasi berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan budaya dari Indonesia dan mempelajari bagaimana Indonesia dapat menerapkan semangat cinta negara yang sangat tinggi ke dalam setiap warganegara mereka.

 Terdapat pelbagai slot program yang berlangsung dengan jayanya bermula dengan sesi ramah mesra bersama pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut ilmu di universiti sekitar Yogyakarta. Diikuti pula dengan penganjuran Seminar Antarabangsa yang bertemakan Patriotisme Generasi Muda dalam Perspektif Pancasila dan Rukun Negara pada hari berikutnya. Selain itu, program kesukarelawanan turut diaturkan di mana ia diuruskan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar UMP. Program ini melibatkan pelajar-pelajar sekolah SMP IT Alam Nurul Islam di Yogyakarta dijalankan pada hari ketiga lawatan. Turut berlangsung serentak ialah program motivasi bersama guru-guru sekolah tersebut yang dikendalikan oleh Dr. Fatmawati Latada, pensyarah kanan Pusat Sains Kemanusiaan, UMP.

Pada malam harinya pula, satu aktiviti persilangan budaya antara Malaysia dan Indonesia diadakan melalui program Malam Kebudayaan Malaysia-Indonesia. Pelbagai persembahan yang mempamerkan budaya dua negara ini telah dipersembahkan seperti tarian kebudayaan dan nyanyian. Selain delegasi UMP, program ini turut disertai kira-kira 26 orang pelajar daripada beberapa universiti seperti UGM, UNY dan Universitas Islam Negeri (UIN), Yogyakarta.

 Diharapkan agar jalinan antarabangsa dan ikatan bersama pihak universiti di Indonesia dapat menjadi asas untuk kolaborasi pada masa hadapan dan dapat memupuk semangat patriostime terutamanya di kalangan pelajar Malaysia dan Indonesia.


Print   Email